My Fellow Friends

Monday, February 27, 2012

Pergantungan KepadaNya


Di saat suamiku meninggalkan kami untuk menjalankan tugasannya di Peru, aku sukar untuk tidur malam.  Takut.  Takut akan kejahatan manusia yang bila-bila masa dan ketika sahaja akan mencerobohi kediaman kami dan mengganggu.  Takut.  Takut kerana tiada harta benda yang boleh diserahkan untuk menggantikan nyawa, maruah dan keselamatan.

Entri ini ditulis ketika suami masih di Peru, tetapi disiarkan di blog setelah kepulangannya.  Amatlah tidak bijak jika aku mewar-warkan kepada seluruh dunia tentang ketiadaan suami di sisi.  Lebih selamat bila entri ini disiarkan setelah segalanya menjadi kisah yang lalu.


Lalu, aku teringatkan wanita-wanita hebat di zaman dahulu.  Kisah-kisah isteri nabi dan para sahibiyyah yang ditinggalkan suami mereka.  Suami mereka pergi berdagang di negara-negara lain, sehinggalah Islam itu sampai ke Tanah Melayu.

Bukan sang suami sahaja yang berkorban.  Sang isteri juga perlu mengorbankan rasa rindu, dilindungi dan kesenangan ketika suami ada bersama.  Jika suamiku di rumah, dialah yang banyak membantu, memandikan anak-anak, menyiapkan sarapan dan sebagainya.

Terus aku teringatkan kisah Asiyah.  Betapa pergantungannya hanyalah kepada Allah SWT.  Benarkah aku, suami dan anak-anak akan selamat jika suami berada di sisi?  Mungkin ya, mungkin tidak.  Bukan aku bermaksud untuk meragui kebolehan suamiku melindungi kami.  InsyaAllah, pastinya dia akan seboleh mungkin cuba melindungi kami dari segala keburukan dan gangguan manusia.  Tetapi, siapa yang akan mengizinkan itu semua berlaku?  Pastinya Allah.

Sedarlah!  Aku sedar aku tidak seharusnya takut.  Ibu bapaku, adik beradik dan sahabat-sahabat sentiasa mendoakan keselamatan kami.  Allah sahajalah yang mampu melindungi kami.  Hanyalah Allah.  

Ya Allah, Ya Tuhanku.  Lindungilah kami dan setiap hambaMu di muka bumi ini, daripada kejahatan, tipu daya dan gangguan manusia dan jin.  Sesungguhnya Ya Allah, hanya Engkaulah yang dapat memberikan kami keselamatan dan perlindungan.  Hidupkan dan matikanlah kami di dalam iman, Ya Allah.

Yang Maha Memiliki, Engkaulah sahaja Kuasa Yang Agung.  Amin.
-Feb 07, 2012-

Tips menjaga keselamatan diri dan rumah.  Amalkan membaca al-Ma'thurat setiap pagi dan petang.  Al-Ma'thurat sughra juga memadai.  Inshaallah, kita berusaha.

------------------------ SomethingFarwinaHasToSay

0 posted: